Sunday, July 4, 2010

ilmuan islam vs tokoh barat

Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang.

Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.

Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan.

Di barat misalnya modul program pengasuhan kanak-kanak dipelopori dengan pelbagai bentuk kurikulum seperti ‘Montessori’, ‘Reggio Emilio’, ‘Early Learning Goals’, ‘High Scope’ dan sebagainya. Manakala di Timur di Jepun misalnya, penekanan kurikulum kepada aspek hygiene, kesihatan dan pemakanan sihat manakala di New Zealand sebagai contoh, ‘ Te Wariki’ menekankan kepada pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan menghormati tatacara kehidupan masyarakat Maori.

Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi sumbangan kepada ilmu pengasuhan perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak. Ibnu Miskawaih misalnya begitu menekankan pentingnya pendidikan akhlaq dan pembentukan sahsiah yang mulis manakala Imam Al-Ghazali yang banyak menyumbang kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak, begitu menekankan aspek belajar melalui bermain sebagai asas pengasuhan.

Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh barat dan tidak releven dengan Islam. Seringkali matapelajaran psikologi atau subjek perkembangan kanak-kanak yang di ajar di institusi sekolah dan pengajian tinggi dirujuk kepada penemuan yang diketengahkan oleh barat. Hakikatnya pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Kita sering menyebut tentang :
  • Jean Piaget dan teori Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina (370-428 Hijria = 980-1036 AD) yang membicarakan hal yang sama berkurun-kurun lamanya sebelum Piaget.
  • Emotional Intelligent yang dipelopori oleh Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun (733-808 Hijria = 1332-1406 Masehi)telah berabad lamanya mengupas isu tersebut di dalam kitabnya almuqaddimah.
  • Kita mula menyuarakan tentang kepentingan memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak tanpa merujuk penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam membicarakan isu-isu perkembangan sosio-emosi kanak-kanak.
  • Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan pelbagai lagi teori mengenai permainan dari perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Kiranya ia sudahpun dipelopori oleh begitu ramai tokoh cendikiawan Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan sebagainya.
Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai kepentingan bermain melalui belajar sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia merujuk kepada ciri-ciri semulajadi kanak-kanak yang sememangnya suka bermain. Malah banyak hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-kanak yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini seperti tidak diberikan perhatian dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai perkembangan kanak-kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan tanpa menyedari atau mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan dihurai oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam almaulud”

Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif tentang teori:

  • teori yang dikemukakan oleh Behaviourist, Social Learning Theory dan sebagainya. Antara idea utama yang dikemukakan oleh teori ini ialah kanak-kanak relajar melalui pemerhatian dan mudah meniru apa saja perlakuan. Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi pengukuhan.
TETAPI

  • Alangkah bijaknya tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu detail persoalan sebegini dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan:
  1. Qudwah (Role model)
  2. Mulahazah wa mutaba’ah (Observation and imitation)
  3. i’tiyad (kelaziman/kebiasaan)
  4. isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment)
  5. nasihat (advice) sebagai penyelesaian

Imam Al Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik atau hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya adalah “mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam kitab karangannya “ ayyuha al-walad”.

Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi aplikasi, selalunya sarjana barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya melalui kajian-kajian ilmiah dan melakukan eksperimen yang lebih mendalam lalu setelah yakin dengan kesannya yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan inilah teori baru dan yang untungnya kerana mereka mengamalkannya.!

Realitinya, inilah punca kemunduran umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang kurang dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap umatnya yang perlu diubah. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya...” Sungguh benarlah firman Allah!

No comments:

Post a Comment